Dalam penulisan sebelum ini, telah dikongsikan serba sedikit sebahagian
daripada sejarah bangsa Yahudi di atas muka bumi ini.
Kali ini kita akan melihat bagaimana sebenarnya gerakan Zionis yang angkuh
dan zalim memulakan agenda mereka untuk mewujudkan negara sendiri yakni negara
haram Israel seperti yang kita dapat lihat pada hari ini.
Zionis : Bagaimana Mereka Bermula
Seperti yang disebutkan sebelum ini, terdapat segelintir orang Yahudi di
Rusia yang bertekad untuk mengasimilasi kehidupan mereka ke dalam cara hidup
masyarakat Rusia walaupun tindakan itu boleh menghakis identiti mereka
sebagai orang Yahudi sejati.
Mereka berjaya untuk menyesuaikan diri mereka dan diterima dalam masyarakat
Rusia ketika pemerintahan Tsar Alexander II kerana undang-undang yang menekan
orang Yahudi mula dilonggarkan. Antaranya, pelajar Yahudi dibenarkan masuk ke
universiti di Rusia.
Namun, malang tidak berbau, perkara itu tidak bertahan lama.
Selepas berlaku pembunuhan Tsar Alexander II, tekanan dan penindasan
terhadap orang Yahudi di Rusia berlaku kembali. Sekitar tahun 1881, orang
Yahudi mula diserang, diperkosa, dan juga dibunuh. Keadaan ini
berterusan sehingga tahun 1884.
Pada ketika ini, orang Yahudi mula menyedari bahawa harapan untuk
benar-benar berasimilasi dan diterima dalam masyarakat Rusia adalah mustahil!
Bermula dari sinilah berlakunya penghijrahan orang Yahudi Rusia keluar
daripada Rusia secara besar-besaran. Dilaporkan seramai 1.5 juta orang Yahudi
telah meninggalkan Rusia antara tahun 1900-1914. Kebanyakan mereka berhijrah ke
Amerika dan selebihnya (yakni mereka yang tidak lagi berpegang pada agama);
tetap dengan hasrat mereka untuk kembali ke Palestin!
Strategi Zionis
Gerakan Zionis moden ini (yang dikenali sebagai BILU, antara
yang terawal wujud) sebahagiannya berusaha untuk masuk ke Palestin dan
mendirikan penempatan berasaskan pertanian di sana. Mereka membayangkan
pembinaan negara Yahudi di Palestin yang didirikan di atas asas pertanian yang
sepenuhnya diusahakan oleh orang Yahudi. Namun cubaan awal ini tidak begitu
berjaya.
Ketika di Rusia (sebelum penghijrahan besar-besaran), terdapat satu gerakan
Zionis yang dikenali sebagai Hibbat Zion (The Love of Zion).
Perancangan kelompok Hibbat Zion ini lebih bersistematik
daripada BILU. Mereka tidak tergesa-gesa ingin mendirikan penempatan
di Palestin tetapi mereka mengukuhkan kedudukan mereka di Rusia dahulu sehingga
jumlah ahli mereka mencecah 10,000 orang.
Namun tidak dinafikan terdapat juga orang Yahudi taat yang masuk ke
Palestin semata-mata untuk memenuhi tuntutan agama mereka. Kejayaan membina
penempatan awal di Palestin adalah hasil sumbangan hartawan Yahudi di Eropah
seperti Moses Montfiore dan Baron Edmond de Rothcschild. Rothschild telah
mendermakan sebanyak 1.6 juta pound sterling kepada orang Yahudi yang
berhijrah ini.
Penubuhan Gerakan Zionis Sedunia
Pada tahun 1897 telah diadakan persidangan Zionis sedunia di Basil,
Switzerland. Dalam persidangan inilah tertubuhnya Gerakan Zionis Sedunia dengan
Theodre Hertzl sebagai presiden pertama. Dalam persidangan ini juga digariskan
matlamat Zionism adalah "untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi di Palestin
yang dijamin oleh undang-undang (antarabangsa)."
*Theodre Herzl*
Dari situlah bermulanya usaha-usaha Zionis untuk mendapatkan tanah Palestin
yang pada ketika itu berada di bawah naungan kerajaan Turki Uthmaniyah yang
dipimpin oleh Sultan Abdul Hamid II. Ketegasan Sultan Abdul Hamid II untuk
tidak membiarkan Palestin jatuh ke tangan Zionis berjaya mempertahankan
Palestin walaupun pihak Zionis menawarkan untuk membayar semua hutang-hutang
kerajaan Turki Uthmaniyah pada ktika itu.
Antara usaha Sultan Abdul Hamid II untuk mempertahankan Palestin ialah
mengenakan 'visa' kepada pelancong Yahudi di mana mereka tidak boleh berada di
Palestin melebihi suatu tempoh tertentu. Selain itu, tidak dibenarkan untuk
orang Palestin menjual tanah mereka kepada orang Yahudi.
Namun demikian, seperti yang tercatit dalam sejarah, akhirnya Palestin
jatuh juga ke tangan Zionis untuk mereka menubuhkan negara haram Israel pada tahun
1948 dengan bantuan para penjajah Barat seperti British. Keadaan ini
diburukkan lagi dengan kesatuan umat Islam yang semakin rapuh pada ketika itu
dan lebih mengutamakan semangat nasionalisme (semangat berasaskan bangsa).
Bermula dari situ, sedikit demi sedikit tanah Palestin terhakis dan semakin
mengecil manakala negara haram Israel semakin bertambah keluasannya. Dalam
mencapai cita-cita mereka itu Zionis Israel telah menggunakan taktik yang kejam
dengan pembunuhan tanpa belas kasihan terhadap orang-orang Islam di Palestin!
Oleh sebab itulah DIHARAMKAN oleh para ulama' untuk umat Islam memberi
sokongan dan juga kepada negara umat Islam untuk mengadakan apa-apa
hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.
Penutup
Dengan sedikit catatan sejarah bagaimana boleh terwujudnya fahaman Zionism
dan gerakan Zionis moden di dunia ini, adalah diharapkan ini akan menjernihkan
lagi kefahaman umum tentang BEZA antara Yahudi dan Zionis seperti yang disebut
oleh pimpinan PAS seperti yang dilaporkan oleh akhbar.
Hal ini terbukti juga dengan hakikat bahawa orang-orang Yahudi yang masih
mengamalkan ajaran Yahudi turut mengecam tindakan kejam Zionis Israel
(yang merupakan Yahudi sekular) terhadap Palestin.
PRC ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya
dengan tohmahan yang dilemparkan kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam isu
berkaitan dengan pendirian PAS terhadap Zionis Israel.
PAS akan terus mempertahankan keadilan dan kebajikan manusia sejagat,
khususnya di Malaysia; teguh di atas landasan Al-Quran dan as-Sunnah.
InshaAllah!
***************
Sumber:
"Palestine and the Arab-Israeli Conflict: A
History with Documents" (Sixth Edition) oleh Charles D.
Smith, terbitan Bedford / St. Martin's
Disediakan oleh,
PAS Representative Council of UK-Eire (PRC)
28 Rabiulakhir 1433 H
bersamaan
21 Mac 2012 M