“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11

Wednesday 21 March 2012

Siapa Zionis di Mata Orientalis? (Bahagian Pertama)


Majlis Perwakilan PAS UK dan Ireland (PRC) ingin melahirkan rasa kesal terhadap tohmahan yang dilemparkan oleh pihak tertentu terhadap kenyataan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa majlis makan malam anjuran Dewan Muslimat pada 16 Mac 2012 yang lalu.


Dalam majlis tersebut beliau menyebut bahawa aktiviti berniaga dengan orang Yahudi adalah dibolehkan tetapi bukan dengan Zionis. Malangnya, ramai pihak telah tersalah anggap dan menuduh kenyataan Presiden PAS itu telah tergelincir daripada landasan Islam yang sebenar.


Yahudi dan Zionis : Ada Perbezaannya

Yahudi adalah para penganut agama Yahudi (Judaism) dan dari segi kenegaraan dan kerakyatan, mereka terdapat di pelbagai negara di dunia termasuklah di negara-negara umat Islam seperti Mesir dan sebagainya. Malah, di negara kita sendiri pernah ada kalangan penduduk Yahudi dan masih terdapat perkuburan orang-orang Yahudi di beberapa tempat di Malaysia.


Yahudi juga ditakrif sebagai satu bangsa (bangsa Yahudi) dan mereka secara tradisinya menganut agama Yahudi.  Walaubagaimanapun, terdapat orang-orang Yahudi yang kemudiannya menganut agama-agama lain termasuk agama Islam sejak dari zaman awal Islam (zaman Rasulullah SAW) hinggalah ke zaman sekarang.


Zionisme pula ada satu fahaman nasionalisme sesetengah orang Yahudi yang menuntut satu negara khusus untuk orang-orang Yahudi yang kini cuba didirikan di bumi umat Islam Palestin yang dikenali mereka sebagai Israel.


Mereka secara lazimnya, sanggup melakukan apa sahaja kekejaman, penipuan dan kekerasan untuk mencapai matlamat nasionalistik mereka ini.  Ini terbukti bilamana negara Israel yang ditubuhkan atas dasar Zionisme sentiasa bertindak di luar perikemanusiaan dan undang-undang antarabangsa dalam membina dan meluaskan negara mereka.


Malah, ramai dari kalangan orang-orang Yahudi sendiri yang menentang dasar Zionisme dan perlakuan negara Israel ke atas para penduduk Palestin.




Jelas sekali pihak yang menuduh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sedemikian, sebenarnya tidak memahami perbezaan diantara Yahudi dan Zionis, ataupun sengaja berniat jahat mahu memutar-belitkan kenyataan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tersebut.



Hakikatnya, pendirian Presiden PAS tersebut yang turut disokong oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah selari dengan para ulamak Islam antarabangsa, termasuk, pendirian Ketua Kesatuan Ulama' Islam Antarabanga, Dr Yusuf al-Qardhawi.





Dengan ini, PRC ingin menegaskan sekali lagi bahawa PAS konsisten dengan pendiriannya menolak kewujudan negara haram Israel yang didirikan oleh Yahudi berfahaman Zionis dan apa-apa hubungan dengan Israel samada dari segi diplomatik mahupun perdagangan.


Atas dasar yang sama, PAS kesal dan mengutuk sepenuhnya tindahkan kerajaan Barisan Nasional yang secara diam-diam telah aktif menjalankan hubungan dagang dengan Zionis Israel.

Dalam tulisan kali ini, PRC ingin mengajak pembaca sekalian untuk meneliti kembali sejarah asal-usul kelompok Yahudi Zionis di muka bumi ini dan membezakan mereka dengan 'orang-orang Yahudi'.


Yahudi Dihalau, Yahudi Merempat
  
Umum mengetahui, sejarah telah menyaksikan bagaimana bangsa Yahudi telah melalui  suatu zaman yang amat pahit di masa lampau di mana mereka telah ditekan dan ditindas oleh banyak kuasa besar dunia selepas mereka dihalau daripada satu daerah yang mereka percaya sebagai 'Tanah Israel' (baca: jewish diaspora). Semenjak peristiwa 'penghalauan' itu, orang Yahudi hidup sebagai pelarian di negara asing.


Antaranya, mereka bermukim dan bertaburan di negara-negara di Eropah Barat dan Eropah Timur. Semasa berada di Eropah, penindasan yang berlaku ke atas mereka tidak berkurang khususnya daripada pihak Kristian.





Pihak Kristian yang melancarkan Perang Salib ke atas umat Islam untuk mendapatkan semula Jerusalem pada ketika itu turut melampiaskan rasa marah dan benci mereka kepada mana-mana pihak yang menolak kepercayaan Kristian. Golongan Yahudi yang berada di bawah naungan empayar Kristian pada ketika itu tidak terkecuali dan menatijahkan penindasan yang lebih teruk ke atas mereka.


Kelompok Yahudi telah dihalau daripada England pada tahun 1290 (tidak dibenarkan kembali sehinggalah akhir kurun ke-17) dan juga dihalau daripada Perancis pada tahun 1309. Namun terdapat juga sebilangan kecil yang terus menetap di negara-negara tersebut.


Yahudi di Eropah Barat

Namun keadaan ini berubah sekitar abad ke-18 di mana orang Yahudi telah dibenarkan masuk semula ke Eropah Barat yang merangkumi negara-negara seperti England, Perancis, dan juga Jerman. Selepas berlakunya Revolusi Perancis 1789, pengisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Warganegara telah membuka peluang kepada orang Yahudi untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa Eropah lain. Dalam erti kata lain, orang Yahudi berpeluang untuk berasimilasi dalam masyarakat di negara-negara yang mereka duduki.


Perkara ini pastinya menjadi cabaran bagi orang Yahudi kerana mereka adalah satu bangsa yang mempunyai semangat kebangsaan yang amat tinggi dan mereka juga percaya bahawa merekalah 'bangsa yang terpilih'. Walaupun demikian, orang Yahudi merasakan bahawa mereka tidak seharusnya mensia-siakan peluang ini (baca: peluang untuk tidak lagi ditindas) dan mereka memilih untuk berasimilasi dengan cara hidup masyarakat Eropah.


Atas kesabaran mereka, orang Yahudi akhirnya berjaya mengadaptasi diri mereka dalam masyarakat Eropah dan berjaya mencapai hak sosial yang sama rata dengan yang lain di negara yang mereka duduki pada akhir kurun ke-19.





Yahudi di Eropah Timur

Sebaliknya telah berlaku ke atas orang Yahudi di Eropah Timur. Tekanan dan penindasan yang dialami oleh orang Yahudi di Eropah Timur (khususnya di Rusia) adalah lebih dahsyat. Mereka tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam masyarakat  Rusia secara bebas melainkan mereka 'keluar Yahudi' (baca: tidak menganut fahaman Yahudi lagi).


Pada tahun 1790-1791, kerajaan Rusia telah meluluskan undang-undang yang menghasilkan apa yang dikenali sebagai Pale of Settlement. Apa yang berlaku ialah, orang Yahudi tidak dibenarkan untuk menetap di sebahagian besar bandar-bandar utama di Rusia. Orang Yahudi telah dihadkan untuk tinggal di kawasan tertentu sahaja dan ini menjadikan mereka hidup secara bertumpu di suatu tempat.


'Pemulauan' terhadap orang Yahudi ini dan peluang untuk mereka hidup bersama-sama dalam satu komuniti (dengan jumlah yang besar) telah mengukuhkan lagi pengamalan kehidupan beragama mereka. Mereka masih lagi berpegang teguh dengan ajaran Yahudi. Hal ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku kepada Yahudi di Eropah Barat.


Namun terdapat juga segelintir orang Yahudi di Rusia yang terlalu ghairah ingin berasimilasi dengan bangsa Rusia dan mencita-citakan hak yang sama di negara tersebut. Mereka inilah golongan yang 'tidak begitu mengamalkan agama' yang menjadi titik permulaan kepada fahaman Zionis moden.


Zionis : Gerakan Yahudi Sekular

Gerakan Zionis moden telah bermula sekitar pertengahan abad ke-19. Gerakan ini tercetus akibat tekanan dan penindasan yang dialami oleh bangsa Yahudi pada ketika itu, seperti yang disebutkan sebelum ini. Antara hasrat mereka yang berfahaman Zionis ini ialah untuk mendirikan sebuah negara Yahudi yang bebas di Palestin (yang mereka percaya sebagai milik orang Israel).


Namun dalam hal ini, kepercayaan orang Yahudi yang taat (baca: mengamalkan ajaran Yahudi) adalah sangat berbeza dengan fahaman Zionis.





Orang Yahudi percaya bahawa peristiwa 'penghalauan' mereka suatu ketika dahulu adalah hukuman daripada Yahweh (gelaran tuhan dalam kepercayaan Yahudi) atas kederhakaan mereka. Walaupun mereka meyakini bahawa Palestin itu tanah milik mereka, tetapi mereka juga percaya 'kepulangan' mereka ke tanah itu hanya akan berlaku apabila Yahweh telah memaafkan mereka di akhir zaman nanti.


Sebaliknya, gerakan Zionis bersifat sekular dan bukanlah didirikan 'atas dasar agama'. Fahaman Zionisme bermula sebagai sebuah gerakan aktivisme dan politik yang tidak mahu menerima sepenuhnya idea berasimilasi dengan masyarakat Eropah ketika mereka tinggal di sana. Dalam diri mereka masih merasakan bahawa merekalah 'bangsa terpilih' dan melebihi bangsa-bangsa lain di dunia.


Bagaimana Zionisme Bermula?

Setakat ini, jelas kepada kita bahawa Zionis adalah BERBEZA daripada Yahudi. Fahaman Zionisme adalah satu fahaman yang telah menyimpang daripada kepercayaan agama Yahudi.


Kini timbul persoalan, bagaimana sebuah bangsa yang suatu ketika dahulu menjadi bangsa yang tertindas kini menjadi bangsa yang berpengaruh di dunia?


Bagaimana negara haram Israel yang suatu ketika dahulu tidak pernah wujud di atas peta dunia tetapi kini semakin bertambah keluasannya?


InshaAllah, semua ini akan bersambung dalam penulisan seterusnya...



**********

Sumber:
"Palestine and the Arab-Israeli Conflict: A History with Documents" (Sixth Edition) oleh Charles D. Smith, terbitan Bedford / St. Martin's

Disediakan oleh,
PAS Representative Council of UK-Eire (PRC)
28 Rabiulakhir 1433 H
bersamaan
21 Mac 2012 M







1 comment:

  1. info yg panjang dan menarik.. tq..

    p/s: sila letak widget rakanblog.com sblm letak post anda..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...